FELDA FM. Powered by Blogger.

Radio Internet FELDA FM

Thursday 29 March 2012

'Durian runtuh' peneroka Felda

ALOR GAJAH 26 Mac - Warga peneroka Felda bakal mendapat 'durian runtuh' daripada kerajaan tidak lama lagi yang akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, Felda daripada segi kewangan telah bersedia untuk memberi 'durian runtuh' itu tetapi hanya Perdana Menteri yang berhak memutuskan bila dan berapa jumlahnya.

"Peneroka Felda di seluruh negara bakal menikmati 'durian runtuh' itu seperti yang diterima mereka sebelum ini.

''Tetapi butiran lanjut mengenainya biarlah Perdana Menteri sendiri yang umumkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Program Pemimpin Bersama Warga Felda Melaka di Felda Tun Ghafar Hutan Percha, di sini malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Isa berkata, tindakan pembangkang memutarbelitkan isu penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia adalah semata-mata untuk meraih undi golongan peneroka yang selama ini menjadi penyokong kuat Barisan Nasional (BN).

Katanya, pelbagai tohmahan dilemparkan pembangkang terhadap usaha penyenaraian itu agar dianggap sebagai 'wira' yang menjaga kebajikan dan kepentingan peneroka.

Namun, katanya, tindakan itu menjerat pembangkang sendiri apabila majoriti warga peneroka menyambut baik penyenaraian FGVH kerana ia bakal memberi manfaat kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.

"Inilah kerja pembangkang, mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk mengelirukan rakyat bagi mencapai matlamat politik dan akan menggunakan apa sahaja cara untuk mendapatkan sokongan daripada warga peneroka Felda," katanya.

Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment