FELDA FM. Powered by Blogger.

Radio Internet FELDA FM

Thursday 29 March 2012

'Durian runtuh' peneroka Felda

ALOR GAJAH 26 Mac - Warga peneroka Felda bakal mendapat 'durian runtuh' daripada kerajaan tidak lama lagi yang akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, Felda daripada segi kewangan telah bersedia untuk memberi 'durian runtuh' itu tetapi hanya Perdana Menteri yang berhak memutuskan bila dan berapa jumlahnya.

"Peneroka Felda di seluruh negara bakal menikmati 'durian runtuh' itu seperti yang diterima mereka sebelum ini.

''Tetapi butiran lanjut mengenainya biarlah Perdana Menteri sendiri yang umumkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Program Pemimpin Bersama Warga Felda Melaka di Felda Tun Ghafar Hutan Percha, di sini malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Isa berkata, tindakan pembangkang memutarbelitkan isu penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia adalah semata-mata untuk meraih undi golongan peneroka yang selama ini menjadi penyokong kuat Barisan Nasional (BN).

Katanya, pelbagai tohmahan dilemparkan pembangkang terhadap usaha penyenaraian itu agar dianggap sebagai 'wira' yang menjaga kebajikan dan kepentingan peneroka.

Namun, katanya, tindakan itu menjerat pembangkang sendiri apabila majoriti warga peneroka menyambut baik penyenaraian FGVH kerana ia bakal memberi manfaat kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.

"Inilah kerja pembangkang, mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk mengelirukan rakyat bagi mencapai matlamat politik dan akan menggunakan apa sahaja cara untuk mendapatkan sokongan daripada warga peneroka Felda," katanya.

Sumber : Utusan Online

Tuesday 27 March 2012

Warga Felda tambah kekuatan Askar Wataniah

PELANCARAN Kompeni Askar Wataniah Wilayah Felda di Felda Gedangsa, Hulu Selangor baru-baru ini membuktikan anak kelahiran tanah rancangan turut bersemangat mempertahankan tanah air daripada diceroboh anasir subversif luar.

Penyertaan peneroka Felda dalam pasukan tersebut menambah lagi kekuatannya yang sehingga Disember tahun lalu telah mempunyai sebanyak 222 kompeni merangkumi setiap kawasan parlimen di seluruh negara.

Majlis bersejarah melibatkan kontinjen kawasan Felda Gedangsa, Sungai Tinggi Selatan dan Kampung Soeharto itu dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pada majlis berkenaan, beliau turut memeriksa perbarisan 12 pegawai dan 120 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Mohd. Subhi Marsan.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd Zin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zukifli Zainal Abidin; Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki dan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda, (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail.

Ahmad Zahid berkata, beliau berasa bangga dengan inisiatif GWGF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan Kompeni Askar Wataniah Wilayah Felda di semua 317 buah tanah rancangan Felda seluruh negara.

Menurutnya, dalam usaha mencapai matlamat sebuah negara yang maju sejajar dengan wawasan 2020, setiap pihak dan rakyat perlu memainkan peranan penting membangun dan mempertahankan negara.

Penyertaan masyarakat di dalam Askar Wataniah merupakan satu sumbangan murni bagi menyahut seruan ibu pertiwi sesuai dengan konsep pertahanan menyeluruh (Hanruh) yang ditetapkan dalam dasar pertahanan negara.

"Saya amat berbangga kerana impian untuk merealisasikan Penubuhan Kompeni Askar Wataniah Wilayah Felda akhirnya berjaya dan ia merupakan sebahagian daripada komitmen agensi kerajaan, badan berkanun dan swasta di peringkat Felda apabila keanggotaannya dipelopori anak-anak peneroka Felda.

"Kejayaan ini sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat Felda tentang kepentingan keselamatan negara di samping mengeratkan silaturahim di antara Warga Felda, ATM dan Askar Wataniah yang dianggap sebagai satu wasilah yang memperjuangkan nasib generasi baru Felda," katanya sempena pelancaran itu.

Beliau berkata, usaha yang dilakukan itu sangat baik dan wajar diberikan pujian kerana ia sejajar dengan usaha kerajaan untuk menambahkan bilangan anggota askar wataniah di negara ini.

Katanya, beliau yakin usaha itu secara tidak langsung dapat membantu kerajaan dari segi aspek penambahan keanggotaan Askar Wataniah di samping dapat memberikan maklumat kepada orang awam mengenai tugas sebenar pasukan keselamatan sukarela berkenaan.

"Askar Wataniah dilatih membantu angkatan tetap dan ia merupakan modul yang dipraktikkan selama ini dan akan terus dijadikan strategi utama apabila keadaan memerlukan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, selagi semangat kesukarelaan itu kekal, asas penubuhan Askar Wataniah akan terus menjadi lebih signifikan dan model terbaik di dalam penubuhan angkatan keselamatan sukarela.

Katanya, setiap orang bertanggungjawab menjaga dan menentukan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan negara tercinta supaya ia terus terpelihara.

Tambahnya, selain menjaga keselamatan, pasukan wataniah juga dapat membantu orang ramai melaksanakan kerja amal yang lain seperti membina rumah rakyat miskin, membantu mangsa banjir dan bencana alam.

Sementara itu, Rozali berkata, GWGF dengan kerjasama Rejimen 502 Askar Wataniah Negeri Selangor dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menubuhkan kompeni askar wataniah peringkat tanah rancangan Felda yang dinamakan Kompeni Askar Wataniah Felda.

Menurutnya, penubuhan kompeni askar wataniah Felda akan diperluaskan ke seluruh 317 tanah rancangan lembaga itu di seluruh negara dan baru-baru ini beberapa kontinjen Felda di negeri Selangor disatukan menjadi kompeni askar wataniah Felda yang pertama ditubuh dan dilancarkan dengan rasminya.

Menurutnya, selepas ini kompeni-kompeni askar wataniah di setiap tanah rancangan Felda akan bergerak secara berkumpulan mengikut wilayah Felda masing-masing di seluruh negara.

Sementara itu, seorang anggota Askar Wataniah Wilayah Felda Selangor, Aminurdin Mat Shohor, 27, berkata, beliau gembira apabila diterima menjadi askar wataniah kerana dapat berkhidmat untuk Negara.

Beliau yang juga seorang eksekutif berkata, semangat untuk mencabar diri sendiri mendorongnya menyertai askar wataniah.

"Saya berharap memperoleh ramai kenalan dan meningkatkan semangat patriotisme setelah menyertai pasukan keselamatan sukarela ini," katanya.

Teman sepasukannya, Mohd. Ismail Masri, berkata beliau turut gembira dapat berkhidmat dalam askar wataniah di kawasan Felda kerana mahu membuktikan generasi baru cintakan keamanan negara.

Katanya, selain berkhidmat kepada negara, beliau berikrar melaksanakan tugas dengan baik.

Seorang lagi anggota berkenaan, Masri Abd Rahim, 29, berkata, penubuhan askar wataniah di Felda dapat direalisasikan apabila mendapat sambutan generasi muda.

Beliau yang juga seorang Eksekutif Kanan Sumber Manusia, berkata semangat menjaga keamanan negara mesti disemarakkan dalam kalangan anak muda yang tahu menilai erti cinta kepada negara dan mempunyai jati diri.

"Tugas menjaga keamanan bukan semata-mata terletak kepada anggota tetap malah pasukan keselamatan sukarela," katanya.

Sumber : Utusan Online

Wednesday 21 March 2012

Impian warga Felda tercapai

MARAN 12 Mac - Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di sini yang menjadi kebanggaan orang Melayu Pahang khususnya warga Felda terus melonjak maju setanding dengan bandar lain berikutan beberapa projek bernilai RM250 juta sedang rancak dibangunkan di lokasi tersebut.

Salah satu projek yang dinantikan warga peneroka ialah Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu Wilayah Ekonomi Pantai Timur bernilai RM10 juta yang sedang dalam pembinaan sekali gus bakal menjadi mercu tanda baru bandar Melayu terulung di negeri ini.

Projek yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lalu itu kini sudah kira-kira 35 peratus pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada 17 November ini.

Jurutera pemaju projek berkenaan, Ahmad Rizuan Zulkifli berkata, kompleks terminal dua tingkat itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden untuk bas, teksi, kedai, koperasi, kedai makan, surau, bilik menunggu berhawa dingin, gelanggang boling dan banyak lagi.

Katanya, kompleks itu bakal menjadi mercu tanda baru di Bandar Tun Abdul Razak sekali gus menjadi nadi penghubung dengan destinasi luar.

''Pihak pemaju sangat komited untuk memastikan projek tersebut berjalan lancar selari dengan prestasi tahap kemajuan negeri,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ahmad Rizuan berkata, pemaju terpaksa merobohkan bangunan asal perhentian bas dan teksi yang dibina oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka untuk laluan pembinaan kompleks tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, penjenamaan semula Bandar Jengka dengan nama baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka disusuli dengan peruntukan khas sebanyak RM250 juta bagi membangunkan kawasan tersebut.

Tambahnya, antara projek yang akan dibangunkan adalah kompleks sukan, stadium mini, pusat membeli-belah, pusat perniagaan, tempat letak kereta dan pelbagai kemudahan lain.

"Ia menyuntik semangat warga Felda untuk turut serta menyumbang tenaga dan minda bagi menjamin bandar milik peneroka ini terus 'hidup' dalam jiwa dan hati mereka.

''Bentuk kompleks tersebut apabila siap kelak sangat menarik dan canggih serta bakal menjadi tumpuan orang ramai kerana di situ turut disediakan gelanggang boling," katanya.

Sumber : Utusan Online

Tuesday 20 March 2012

Rumah untuk generasi kedua, ketiga Felda

LABIS 12 Mac - Kerajaan akan membina projek Perumahan Warga Felda (PWF) di Felda Maokil, dekat sini, bagi membantu generasi kedua dan ketiga Felda memiliki rumah sendiri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, tapak PWF itu sudah dikenal pasti dan hanya menunggu kelulusan kerajaan sebelum dilaksanakan.

"Kerajaan akan memberikan subsidi sebanyak RM20,000 untuk setiap rumah itu dan pemohon hanya perlu membayar antara RM45,000 hingga RM65,000 sahaja bagi memiliki rumah tersebut.

"Ini untuk membantu generasi peneroka Felda kedua dan ketiga memiliki rumah kerana Felda tidak dapat memberi tanah kepada mereka seperti generasi pertama," katanya kepada pemberita selepas majlis jalinan mesra bersama peneroka di Sekolah Menengah Felda Maokil 1, dekat sini baru-baru ini.

Katanya, pembinaan PWF di Maokil adalah pertama di bawah Gugusan Felda Segamat dan diharap dapat menyelesaikan masalah kesukaran memiliki rumah di kalangan generasi berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan kesemua 722 peneroka Felda Maokil supaya tidak terpedaya dengan janji Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman yang mahu mengagihkan 360,000 hektar tanah Felda kepada anak-anak peneroka jika pembangkang berkuasa.

Beliau berkata, tanah itu bukan milik anak-anak peneroka sebaliknya aset agensi tersebut yang diuruskan oleh Felda Plantation dan merupakan sumber utama agensi berkenan.

Jelasnya, tanah itu asalnya adalah untuk 200,000 orang dari seluruh negara yang memohon untuk menjadi peneroka di tanah rancangan Felda ketika dibuka pada awal 1960-an.

"Daripada 200,000 orang ini, hanya 165,000 daripada mereka g menjadi peneroka dan tanah yang tidak diusahakan peneroka inilah yang dimaksudkan oleh pembangkang.

"Tanah ini adalah milik Felda. Kita harus faham tanah ini bukan milik peneroka atau anak-anak peneroka dan sudah semestinya kita tidak boleh mengambil sesuatu yang bukan hak kita," katanya.

Sumber : Utusan Online

Thursday 1 March 2012

Felda pertingkat kecekapan bahasa Inggeris anak peserta

LONDON 29 Feb. - Felda bersama ”City and Guilds” telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menyediakan latihan bahasa Inggeris di kalangan anak-anak peneroka lembaga itu yang telah menamatkan pendidikan menengah.

Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad berkata, langkah itu merupakan sebahagian dari program Yayasan Felda untuk memajukan lagi kolej-kolejnya ke tahap lebih tinggi.

Kerjasama itu akan menyaksikan badan anugerah vokasional yang berpangkalan di UK itu membantu FELDA memaju dan mentauliah program bahasa Inggeris berkualiti setara dengan standard antarabangsa, kata Isa di ibu pejabat City and Guilds di sini semalam.

Isa kemudian menyaksikan majlis menandatangani MoU itu antara CEO Yayasan Felda Dr. Emel Faizal Mohd. Mokhtar dengan Ketua Pembangunan Antarabangsa City and Guilds Mike Dawe.

Sumber : BERNAMA