FELDA FM. Powered by Blogger.

Radio Internet FELDA FM

Sunday 1 April 2012

Generasi baru Felda harus berubah sikap

KULAIJAYA 30 Mac - Generasi baru Felda digesa berubah sikap ke arah menjadi aset yang berupaya mempelbagaikan pendapatan mereka.

Pegawai Penerangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tosrin Jarvanti berkata, generasi kedua, ketiga dan seterusnya harus berusaha meneruskan kejayaan bapa dan ibu mereka bagi melestarikan Felda ke peringkat lebih tinggi.

"Hakikatnya tiada lagi tanah rancangan baru dibuka. Justeru, tanggungjawab bagi kelestarian Felda terletak di bahu generasi seterusnya. Generasi muda kena bangun untuk menyambung kejayaan yang telah diraih oleh ibu bapa mereka dalam bentuk ekonomi baru," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Karnival Keluarga 1Malaysia anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja di Dewan Serbaguna Felda Bukit Ramun, di sini malam kelmarin.

Lebih 300 warga Felda Bukit Ramun menyertai karnival berkenaan. Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Baderi Dasuki; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Abd. Halim Abd. Jalil; Ketua Kampung Felda Bukit Ramun, Mohd. Saahad Abdul Hamid dan Pegawai Jasa DUN Pasir Raja, Mohd. Razis Jamiti.

Tosrin berkata, banyak peluang pekerjaan dan perniagaan boleh diceburi warga Felda.

"Aktiviti ini bakal mempelbagaikan lagi sumber pendapatan peneroka dan generasi seterusnya. Oleh itu generasi baru Felda perlu mengambil peluang dengan sebaik-baik mungkin," katanya.

Beliau turut menasihati generasi baru Felda supaya tidak terpengaruh dengan segelintir pihak tertentu yang mempunyai agenda politik sempit atau kepentingan peribadi sehingga sanggup menidakkan rezeki dan peluang orang lain untuk menikmati kejayaan yang diusahakan selama ini.

Sementara itu, Pengerusi karnival, Mohd. Safiee Salam berkata, karnival itu bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan warga Felda, malah meningkatkan persefahaman antara mereka.

Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment