FELDA FM. Powered by Blogger.

Radio Internet FELDA FM

Sunday, 2 September 2012

Resort Felda Sediakan Pekerjaan Kepada Generasi Muda

SUNGKAI, 2 Sept (Bernama) -- Setelah bertahun-tahun meninggalkan kampung halaman kerana bekerja termasuk ke Singapura, cucu seorang peneroka Felda di sini, K.Jeyaraj akhirnya kembali ke tanah rancangan itu untuk menawarkan khidmatnya.

"Kawasan Felda ini tidak seperti dulu lagi kerana pelbagai peluang pekerjaan ditawarkan," kata pemuda berusia 30 tahun itu yang bekerja di Felda Residence Hot Springs, Sungai Klah, dekat sini.

Jeyaraj yang baharu tujuh bulan bekerja di resort itu berkata ramai rakan sekerjanya terdiri daripada anak-anak peneroka tanah rancangan itu.

Selain kolam air panasnya yang menjadi tarikan utama, Felda Sungai Klah yang mempunyai 372 keluarga peneroka menjadi lambang perpaduan masyarakat.

Seorang peneroka, Said Saad, 63, berkata beliau amat bangga kerana Felda dapat memajukan kawasan itu sebagai kawasan air panas yang tercanggih di dunia.

"Ada yang mengatakan kita menggunakan alat pemanas tetapi akhirnya mengakui keaslian air panas berkenaan apabila kita tunjukkan punca air," kata Said yang terlibat dengan pembangunan resort itu pada 2003.

Beliau kerap menjadi jurubahasa kepada pelawat asing apabila diminta oleh pihak pengurusan resort memandangkan beliau sebagai 'orang lama' di kawasan itu.

Said berkata resort itu mempunyai kira-kira 100 pekerja, sebahagian besarnya anak peneroka di situ.

"Terletak tidak jauh dari Kuala Lumpur, Felda Sungai Klah ini mempunyai kira-kira 1,000 penduduk meliputi 38 keluarga India, 28 Cina dan selebihnya Melayu," katanya.



No comments:

Post a comment