FELDA FM. Powered by Blogger.

Radio Internet FELDA FM

Wednesday 21 March 2012

Impian warga Felda tercapai

MARAN 12 Mac - Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di sini yang menjadi kebanggaan orang Melayu Pahang khususnya warga Felda terus melonjak maju setanding dengan bandar lain berikutan beberapa projek bernilai RM250 juta sedang rancak dibangunkan di lokasi tersebut.

Salah satu projek yang dinantikan warga peneroka ialah Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu Wilayah Ekonomi Pantai Timur bernilai RM10 juta yang sedang dalam pembinaan sekali gus bakal menjadi mercu tanda baru bandar Melayu terulung di negeri ini.

Projek yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lalu itu kini sudah kira-kira 35 peratus pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada 17 November ini.

Jurutera pemaju projek berkenaan, Ahmad Rizuan Zulkifli berkata, kompleks terminal dua tingkat itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden untuk bas, teksi, kedai, koperasi, kedai makan, surau, bilik menunggu berhawa dingin, gelanggang boling dan banyak lagi.

Katanya, kompleks itu bakal menjadi mercu tanda baru di Bandar Tun Abdul Razak sekali gus menjadi nadi penghubung dengan destinasi luar.

''Pihak pemaju sangat komited untuk memastikan projek tersebut berjalan lancar selari dengan prestasi tahap kemajuan negeri,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ahmad Rizuan berkata, pemaju terpaksa merobohkan bangunan asal perhentian bas dan teksi yang dibina oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka untuk laluan pembinaan kompleks tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, penjenamaan semula Bandar Jengka dengan nama baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka disusuli dengan peruntukan khas sebanyak RM250 juta bagi membangunkan kawasan tersebut.

Tambahnya, antara projek yang akan dibangunkan adalah kompleks sukan, stadium mini, pusat membeli-belah, pusat perniagaan, tempat letak kereta dan pelbagai kemudahan lain.

"Ia menyuntik semangat warga Felda untuk turut serta menyumbang tenaga dan minda bagi menjamin bandar milik peneroka ini terus 'hidup' dalam jiwa dan hati mereka.

''Bentuk kompleks tersebut apabila siap kelak sangat menarik dan canggih serta bakal menjadi tumpuan orang ramai kerana di situ turut disediakan gelanggang boling," katanya.

Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment