FELDA FM. Powered by Blogger.

Radio Internet FELDA FM

Friday 31 August 2012

Ambil Alih Pinjaman Peneroka


KUALA LUMPUR 29 Ogos - Felda akan mengambil alih pinjaman bank yang dibuat oleh peneroka bagi membeli 800 unit saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) mulai 1 September ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, langkah itu meringankan beban peneroka kerana mereka hanya perlu membayar semula kepada Felda sebanyak RM50 sebulan dalam tempoh lima tahun tanpa dikenakan sebarang faedah.

Menurut beliau, Felda memperuntukkan sebanyak RM360.7 juta untuk melunaskan pinjaman peneroka termasuk faedah kepada 10 bank.

"Peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada keuntungan kira-kira RM6 bilion yang diperolehi Felda hasil penyenaraian FGV di Bursa Malaysia.

"Memandangkan Felda ada lebihan dana, kita gunakan sebahagian daripadanya untuk membantu peneroka yang masih belum melunaskan pinjaman dengan bank," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Kem Anak Muda Generasi Muda Felda (Kemuda) dan Kursus Induksi Permuafakatan Siswa-Siswi Felda (Persada) 2012 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Faizoull Ahmad.

Bagaimanapun, jelas Ahmad, kira-kira 7,000 peneroka yang telah menjual saham FGV mereka serta melunaskan pinjaman bank tidak terlibat dalam langkah pengambilalihan itu.

Sementara itu, beliau menegaskan, pihak pembangkang membuat tuduhan tidak berasas apabila mendakwa sebahagian besar saham FGV dimiliki oleh syarikat asing.

"Peneroka memiliki sebanyak 22.5 peratus saham FGV dan sejumlah 17 peratus saham dimiliki oleh Felda. Pemilikan 39.5 peratus saham menjadikan peneroka dan Felda sebagai pemegang saham utama dalam FGV," ujarnya.

Menurut Ahmad, pemegang-pemegang utama saham FGV yang lain termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), kerajaan-kerajaan negeri dan kakitangan Felda.

Sumber : Utusan Online

Peneroka Felda Dapat Dividen

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian dividen interim sebanyak RM400 kepada 112,635 peneroka hasil daripada keuntungan penyenaraian saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), dua bulan lalu.

Perdana Menteri berkata, pemberian dividen interim berasaskan kepada nilai keuntungan 5.5 sen sesaham adalah hasil daripada dua bentuk dividen yang diterima oleh pihak peneroka iaitu melalui 800 unit saham dikhususkan kepada mereka serta Dana Amanah Peneroka.

''Pertama, mereka akan terima dividen melalui 800 unit saham yang telah diperuntukkan kepada mereka dan jika kita hitungkan 800 unit saham tersebut ia akan memberi pendapatan sebanyak RM44 iaitu selepas didarabkan dengan 5.5 sen.

''Kedua melalui Dana Amanah Peneroka. Sebanyak 20 peratus yang diperuntukkan di dalam dana ini dikhaskan untuk peneroka. Jumlahnya adalah sebanyak 370 juta saham dan apabila ia didarab dengan 5.5 sen bererti pendapatannya adalah sebanyak RM40.1 juta,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri warga Felda bersama Perdana Menteri di Menara Felda di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Presiden FGV, Datuk Sabri Ahmad.

Pengumuman ini sekali gus menangkis tohmahan pembangkang yang menyatakan peneroka Felda akan kerugian berikutan penyenaraian tersebut di papan utama Bursa Malaysia pada 28 Jun lepas.

Pembayaran dividen ini adalah tambahan kepada peneroka yang menerima durian runtuh RM15,000 kepada setiap peneroka Felda seluruh negara.

Harga saham FGV hari ini ditutup pada RM5.02 sesaham iaitu lebih tinggi daripada harga tawarannya RM4.55.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, daripada RM40.1 juta itu setelah dibahagikan kepada setiap peneroka, setiap mereka bakal menerima RM356.

''Sekiranya dicampur dengan pendapatan RM44, bererti melalui dividen interim tersebut setiap peneroka akan menerima RM400. Ini merupakan pendapatan dalam tempoh dua bulan sahaja sejak saham ini disenaraikan di Bursa Malaysia,'' katanya lagi.

Menjawab satu soalan, Perdana Menteri berkata, FGV dijangka membayar dividen kepada semua pemegang sahamnya buat kali kedua pada akhir tahun ini.

''Ini merupakan dividen interim. Insya Allah akan ada satu lagi pengisytiharan dividen pada hujung tahun ini. Ini bermakna terdapat dua kali pemberian dividen,'' katanya lagi.

Dalam pada itu, Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan yakin pihak FGV mampu mencapai keuntungan seperti mana disasarkan iaitu bersandarkan kepada prestasi memberangsangkan oleh pihak syarikat.

''FGV kini berada atas landasan dalam usahanya mencatatkan keuntungan seperti mana yang telah kita sasarkan,'' jelasnya.

Perdana Menteri dalam sidang akhbar sama turut mengumumkan keputusan Felda memberi pinjaman tanpa faedah kepada semua peneroka bagi membantu mereka memiliki 800 unit saham FGV.

''Langkah ini melibatkan peruntukan sebanyak RM360.7 juta. Dengan ini para peneroka tidak perlu meminjam atau mengeluarkan duit sendiri untuk memiliki saham ini. Mereka cuma dikehendaki membayar sebanyak RM50 sebulan sahaja sehingga selesai dijangka dalam tempoh lima tahun.

Sumber : Utusan Online

Thursday 9 August 2012

Durian Runtuh Selepas Raya

Kuala Lumpur : Bayaran durian runtuh RM5,000 kepada generasi kedua FELDA dijangka selepas Aidilfitri, kata Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri yang menjaga FELDA, akan menentukan tarikh pengagihan bayaran itu.

Bukan masalah tiada duit

"Kita bayar, tidak ada masalah sebab duitnya ada. Tidak sempat Ramadan ini, mungkin juga selepas raya," katanya pada sidang media sebelum majlis meraikan anak yatim dan penerima sumbangan Ramadan daripada Syarikat Kumpulan FELDA di Anjung FELDA di sini, semalam.

Mengenai durian runtuh RM5,000 kepada isteri peneroka pula, Mohd Isa berkata, kira-kira 40 hingga 50 peratus bayaran itu sudah diagihkan sejak minggu pertama Ramadan.

Katanya, seluruh pembayaran fasa kedua kepada mereka yang berkelayakan itu diharap selesai sebelum Aidilfitri.

Sementara itu diminta mengulas kejatuhan harga saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) baru-baru ini, beliau berkata, ia sudah meningkat kepada RM5.07 semalam. 
"Sebenarnya minggu lalu, memang kebanyakan saham menurun dan semua syarikat perladangan pun mengalami perkara sama. Namun kerana syarikat perladangan ini dimiliki oleh swasta dan individu, maka tidak ada orang beri perhatian...`political mileage' (keuntungan politik) tidak ada,” katanya.

Pada majlis itu, Mohd Isa menyampaikan sumbangan Ramadan bernilai lebih RM150,000 berupa wang tunai dan barangan kepada 800 penerima.

Mereka terdiri daripada anak yatim dari lapan pertubuhan/rumah anak yatim di Negeri Sembilan dan Melaka, fakir miskin, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit di pusat hemodialisis kendalian FELDA.

Sumber : Utusan Online