FELDA FM. Powered by Blogger.

Radio Internet FELDA FM

Tuesday 27 March 2012

Warga Felda tambah kekuatan Askar Wataniah

PELANCARAN Kompeni Askar Wataniah Wilayah Felda di Felda Gedangsa, Hulu Selangor baru-baru ini membuktikan anak kelahiran tanah rancangan turut bersemangat mempertahankan tanah air daripada diceroboh anasir subversif luar.

Penyertaan peneroka Felda dalam pasukan tersebut menambah lagi kekuatannya yang sehingga Disember tahun lalu telah mempunyai sebanyak 222 kompeni merangkumi setiap kawasan parlimen di seluruh negara.

Majlis bersejarah melibatkan kontinjen kawasan Felda Gedangsa, Sungai Tinggi Selatan dan Kampung Soeharto itu dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pada majlis berkenaan, beliau turut memeriksa perbarisan 12 pegawai dan 120 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Mohd. Subhi Marsan.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd Zin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zukifli Zainal Abidin; Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki dan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda, (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail.

Ahmad Zahid berkata, beliau berasa bangga dengan inisiatif GWGF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan Kompeni Askar Wataniah Wilayah Felda di semua 317 buah tanah rancangan Felda seluruh negara.

Menurutnya, dalam usaha mencapai matlamat sebuah negara yang maju sejajar dengan wawasan 2020, setiap pihak dan rakyat perlu memainkan peranan penting membangun dan mempertahankan negara.

Penyertaan masyarakat di dalam Askar Wataniah merupakan satu sumbangan murni bagi menyahut seruan ibu pertiwi sesuai dengan konsep pertahanan menyeluruh (Hanruh) yang ditetapkan dalam dasar pertahanan negara.

"Saya amat berbangga kerana impian untuk merealisasikan Penubuhan Kompeni Askar Wataniah Wilayah Felda akhirnya berjaya dan ia merupakan sebahagian daripada komitmen agensi kerajaan, badan berkanun dan swasta di peringkat Felda apabila keanggotaannya dipelopori anak-anak peneroka Felda.

"Kejayaan ini sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat Felda tentang kepentingan keselamatan negara di samping mengeratkan silaturahim di antara Warga Felda, ATM dan Askar Wataniah yang dianggap sebagai satu wasilah yang memperjuangkan nasib generasi baru Felda," katanya sempena pelancaran itu.

Beliau berkata, usaha yang dilakukan itu sangat baik dan wajar diberikan pujian kerana ia sejajar dengan usaha kerajaan untuk menambahkan bilangan anggota askar wataniah di negara ini.

Katanya, beliau yakin usaha itu secara tidak langsung dapat membantu kerajaan dari segi aspek penambahan keanggotaan Askar Wataniah di samping dapat memberikan maklumat kepada orang awam mengenai tugas sebenar pasukan keselamatan sukarela berkenaan.

"Askar Wataniah dilatih membantu angkatan tetap dan ia merupakan modul yang dipraktikkan selama ini dan akan terus dijadikan strategi utama apabila keadaan memerlukan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, selagi semangat kesukarelaan itu kekal, asas penubuhan Askar Wataniah akan terus menjadi lebih signifikan dan model terbaik di dalam penubuhan angkatan keselamatan sukarela.

Katanya, setiap orang bertanggungjawab menjaga dan menentukan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan negara tercinta supaya ia terus terpelihara.

Tambahnya, selain menjaga keselamatan, pasukan wataniah juga dapat membantu orang ramai melaksanakan kerja amal yang lain seperti membina rumah rakyat miskin, membantu mangsa banjir dan bencana alam.

Sementara itu, Rozali berkata, GWGF dengan kerjasama Rejimen 502 Askar Wataniah Negeri Selangor dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menubuhkan kompeni askar wataniah peringkat tanah rancangan Felda yang dinamakan Kompeni Askar Wataniah Felda.

Menurutnya, penubuhan kompeni askar wataniah Felda akan diperluaskan ke seluruh 317 tanah rancangan lembaga itu di seluruh negara dan baru-baru ini beberapa kontinjen Felda di negeri Selangor disatukan menjadi kompeni askar wataniah Felda yang pertama ditubuh dan dilancarkan dengan rasminya.

Menurutnya, selepas ini kompeni-kompeni askar wataniah di setiap tanah rancangan Felda akan bergerak secara berkumpulan mengikut wilayah Felda masing-masing di seluruh negara.

Sementara itu, seorang anggota Askar Wataniah Wilayah Felda Selangor, Aminurdin Mat Shohor, 27, berkata, beliau gembira apabila diterima menjadi askar wataniah kerana dapat berkhidmat untuk Negara.

Beliau yang juga seorang eksekutif berkata, semangat untuk mencabar diri sendiri mendorongnya menyertai askar wataniah.

"Saya berharap memperoleh ramai kenalan dan meningkatkan semangat patriotisme setelah menyertai pasukan keselamatan sukarela ini," katanya.

Teman sepasukannya, Mohd. Ismail Masri, berkata beliau turut gembira dapat berkhidmat dalam askar wataniah di kawasan Felda kerana mahu membuktikan generasi baru cintakan keamanan negara.

Katanya, selain berkhidmat kepada negara, beliau berikrar melaksanakan tugas dengan baik.

Seorang lagi anggota berkenaan, Masri Abd Rahim, 29, berkata, penubuhan askar wataniah di Felda dapat direalisasikan apabila mendapat sambutan generasi muda.

Beliau yang juga seorang Eksekutif Kanan Sumber Manusia, berkata semangat menjaga keamanan negara mesti disemarakkan dalam kalangan anak muda yang tahu menilai erti cinta kepada negara dan mempunyai jati diri.

"Tugas menjaga keamanan bukan semata-mata terletak kepada anggota tetap malah pasukan keselamatan sukarela," katanya.

Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment