NORHAFIZAN ZULKIFLI
20 Februari 2012
JENGKA 13 – Sebanyak enam rumah peneroka terjejas dalam kejadian ribut taufan yang melanda Felda Jengka 13 pada jam 6.40 petang kelmarin.
Kejadian itu membabitkan tiga rumah di blok A dan tiga rumah lagi di blok C.
Mangsa, Idris Lebai Ahmad, 61, berkata, ia merupakan kejadian ketiga dalam masa tiga tahun di mana taufan yang kelihatan seperti puting beliung kecil menerbangkan atap rumahnya.
“Ketika kejadian, saya sedang membancuh simen di belakang rumah. Namun secara tiba-tiba saya terdengar bunyi benda patah di bahagian hadapan.
“Waktu itu saya nampak taufan yang datang dari timur itu menghancurkan beranda dan ruang tamu sebelum menuju rumah jiran berhampiran,” katanya.
Dia berkata, sehubungan itu dia mengarahkan anak dan isterinya menyelamatkan diri ke belakang rumah untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
“Saya sekeluarga bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku. Bagaimanapun, kami terpaksa mengeluarkan kos membaiki kerosakan akibat kejadian itu segera.
“Kami tidak menerima sebarang bantuan dan terpaksa memperuntukkan antara RM500 hingga RM1,000 untuk membaiki semula rumah kami,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Mohd Khairil Ismail berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat di ruang tamu bersama anak dan isterinya.
“Ribut taufan ketika itu berserta hujan lebat. Tiba-tiba saya nampak atap rumah tercabut. Tanpa membuang masa, saya terus menyelamatkan keluarga dan mengalihkan semua peralatan supaya tidak terkena air.
“Namun perabot seperti katil dan almari tidak sempat diselamatkan dan rosak terkena hujan. Boleh dikatakan rumah saya adalah rumah paling teruk terjejas dalam ribut ini,” katanya.
Sumber : Sinar Harian Edisi PAHANG
Sumber : Sinar Harian Edisi PAHANG
No comments:
Post a Comment