FELDA FM. Powered by Blogger.

Radio Internet FELDA FM

Monday, 8 October 2012

FELDA akan bina rumah pasang siap untuk generasi kedua


LANGKAWI 29 Sept. - FELDA akan membina rumah pasang siap sebagai rumah mampu milik untuk generasi kedua kerana langkah itu lebih cepat dan murah, kata Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Isa Samad.

"Rumah pasang siap ini ada beberapa model dan kita akan pilih model yang sesuai berdasarkan keluasan tanah. Paling lewat kita boleh laksana Januari tahun depan dan kita juga mampu bina lebih 4,000 unit setahun," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Mohd. Isa berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 40,000 generasi kedua FELDA yang telah berkeluarga dan tidak berminat keluar dari tanah rancangan serta masih menumpang di rumah ibu bapa.

Sumber : Utusan Online

Friday, 5 October 2012

FELDA bina 20,000 rumah bernilai RM1.5b


FELDA akan menyiapkan projek perumahan generasi baharu sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas tanah seluas 2,023.4 hektar (5,000 ekar) dalam kawasannya, membabitkan belanja RM1.5 bilion.

Ini antara program yang akan dilaksanakan oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi-agensi, sebagai menyokong usaha kerajaan merancakkan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, selain itu FELDA juga memperuntukkan RM60 juta bagi membaiki rumah-rumah kampung tradisi di sekitar rancangan, di samping berbelanja RM100 juta setahun untuk program pendidikan dan latihan kemahiran serta biasiswa kepada 5,000 anak generasi baharu.

Menurutnya, 30 peratus atau 2,000 orang daripada jumlah itu terdiri daripada anak-anak dari luar Felda.

"Kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan kerajaan akan dapat memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat melalui CSR," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Yayasan 1MDB 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula akan menyediakan RM300 juta bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah arau untuk pelajar prasekolah di pedalaman Sarawak, klinik bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif.

Yayasan 1MDB ditubuhkan pada Januari 2010 bagi menguruskan dana CSR khusus bagi melancarkan beberapa inisiatif utama dalam usaha merapatkan jurang sosioekonomi, ke arah memenuhi nilai-nilai aspirasi 1Malaysia.

Antara inisiatif utama syarikat pembangunan strategik utama dipacu pasaran bagi membantu mengubah Malaysia menjadi ekonomi maju, yang kompetitif, inklusif dan berkekalan itu ialah, menggalakkan peluang sama rata kepada pendidikan dan kualiti hidup semua rakyat Malaysia.

Perdana Menteri berkata, syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan GLC pula akan memperuntukkan hampir RM500 juta untuk menjalankan CSR dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam persekitaran.

Sumber : Utusan Online

Thursday, 4 October 2012

Bajet 2013: Felda bina 20,000 rumah generasi baharu

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Felda akan menyiapkan projek perumahan generasi baharu sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas tanah seluas 2,023.4 hektar (5,000 ekar) dalam kawasannya, membabitkan belanja RM1.5 bilion.

Ini antara program yang akan dilaksanakan oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi-agensi, sebagai menyokong usaha kerajaan merancakkan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata selain itu Felda juga memperuntukkan RM60 juta bagi membaiki rumah-rumah kampung tradisi di sekitar rancangan, di samping berbelanja RM100 juta setahun untuk program pendidikan dan latihan kemahiran serta biasiswa kepada 5,000 anak generasi baharu.

Menurutnya 30 peratus atau 2,000 orang daripada jumlah itu terdiri daripada anak-anak dari luar Felda.

"Kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan kerajaan akan dapat memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat melalui CSR," katanya.

Sumber : Utusan Online

Keanggotaan Rela Di Felda Bertambah

BESUT 25 Sept. - Keanggotaan Rela di kawasan Felda di negeri ini dijangka dapat ditingkatkan berikutan komitmen tinggi daripada pengurusan Felda yang menyediakan kemudahan kepada pasukan sukarela itu.

Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, di negeri ini menyediakan Pusat Khidmat Komuniti Rela (PKKR) bagi kemudahan menggerakkan pelbagai perancangan.

Katanya, setakat ini sebanyak 14 buah PKKR telah disiapkan di 14 kawasan Felda di negeri ini dan tujuh lagi dijangka dapat disiapkan dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, ia membuktikan Rela kini semakin mendapat perhatian pelbagai pihak untuk bersama-sama menjalankan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman dalam masyarakat.

''Daripada 21 kawasan Felda di Terengganu kini seramai 5,934 penerola dan penduduk sekitar telah menganggotai pasukan sukarelawan itu,'' katanya.

Mustafa berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan PKKR di Felda Selasih dekat sini semalam yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar Wilayah Felda Terengganu, Abd. Malib Abd. Rani dan Pengarah Rela Terengganu, Ahmad Abdul Wahab.

Mustafa berkata, daripada keseluruhan kawasan rancangan Felda di seluruh negara kini, terdapat 75,000 ahli Rela yang kebanyakannya merupakan peneroka selain penduduk kawasan berhampiran.

Menurut beliau, kebajikan keseluruhan 2.8 juta anggota Rela yang banyak membantu kerajaan menjaga keamanan kini lebih terjamin apabila mereka mendapat kemudahan elaun serta mendapat perlindungan insurans.

Sementara itu beliau berkata, ada di antara anggota Rela kini mampu memperoleh sebanyak kira-kira RM1,200 sebulan apabila menjalankan tugas yang diarahkan.

Sumber : Utusan Online

Wednesday, 5 September 2012

Tawaran Jawatan Kosong Bersama Felda

Permohonan adalah dipelawa daripada WARGANEGARA MALAYSIA yang berkelayakan bagi
mengisi kekosongan jawatan berikut:-

Jawatan : 
1. PEGAWAI BELIA & SUKAN GRED S41
2. PENOLONG PEGAWAI BELIA & SUKAN GRED S27
3. PEMBANTU BELIA & SUKAN GRED S17

Taraf Jawatan : Kontrak

Jadual Gaji :    

Gred       Gaji Minimum     Gaji Maksimum     Kadar Kenaikan
                                                                                       Gaji Tahunan
-------------------------------------------------------------------------------------
S41            RM1908.45          RM6122.73               RM225.00
S27            RM1361.14          RM3992.94               RM145.00
S17            RM927.03            RM2804.68               RM95.00


SYARAT LANTIKAN
a. Warganegara Malaysia ;
b. Berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan ;
c. Kelulusan
Jawatan 1 : Ijazah Sarjana Muda atau kelayakan yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
Jawatan 2 : Diploma dalam bidang pentadbiran awam atau sains sukan yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
Jawatan 3 : Sijil Pelajaran Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.
d. Keutamaan diberi kepada calon yang mempunyai kelayakan dalam bidang sains kesukanan serta pengalaman dalam kegiatan-kegiatan belia atau sukan.

CARA MEMOHON
a. Permohonan jawatan kosong ini hendaklah menggunakan perkhidmatan secara online melalui sistem e-jobs dengan melayari laman web www.felda.net.my
b. Permohonan daripada Pegawai-pegawai yang sedang berkhidmat dalam Kerajaan, Badan Berkanun atau Kuasa-Kuasa Tempatan hendaklah melalui Ketua Jabatan masing-masing dengan menyertakan salinan Laporan Penilaian Prestasi dan Kenyataan Perkhidmatan yang telah dikemaskini.
c. Tarikh tutup permohonan ialah pada 15 September 2012

CATATAN
Hanya calon-calon yang disenarai pendek sahaja akan dipanggil untuk ditemuduga. Calon-calon yang tidak menerima jawapan selepas 3 bulan dari tarikh iklan ditutup hendaklah menganggap bahawa permohonan mereka tidak berjaya. Sebarang pertanyaan sila hubungi No. Tel : 03-2617 2681 / 2685 / 2687

Sunday, 2 September 2012

Resort Felda Sediakan Pekerjaan Kepada Generasi Muda

SUNGKAI, 2 Sept (Bernama) -- Setelah bertahun-tahun meninggalkan kampung halaman kerana bekerja termasuk ke Singapura, cucu seorang peneroka Felda di sini, K.Jeyaraj akhirnya kembali ke tanah rancangan itu untuk menawarkan khidmatnya.

"Kawasan Felda ini tidak seperti dulu lagi kerana pelbagai peluang pekerjaan ditawarkan," kata pemuda berusia 30 tahun itu yang bekerja di Felda Residence Hot Springs, Sungai Klah, dekat sini.

Jeyaraj yang baharu tujuh bulan bekerja di resort itu berkata ramai rakan sekerjanya terdiri daripada anak-anak peneroka tanah rancangan itu.

Selain kolam air panasnya yang menjadi tarikan utama, Felda Sungai Klah yang mempunyai 372 keluarga peneroka menjadi lambang perpaduan masyarakat.

Seorang peneroka, Said Saad, 63, berkata beliau amat bangga kerana Felda dapat memajukan kawasan itu sebagai kawasan air panas yang tercanggih di dunia.

"Ada yang mengatakan kita menggunakan alat pemanas tetapi akhirnya mengakui keaslian air panas berkenaan apabila kita tunjukkan punca air," kata Said yang terlibat dengan pembangunan resort itu pada 2003.

Beliau kerap menjadi jurubahasa kepada pelawat asing apabila diminta oleh pihak pengurusan resort memandangkan beliau sebagai 'orang lama' di kawasan itu.

Said berkata resort itu mempunyai kira-kira 100 pekerja, sebahagian besarnya anak peneroka di situ.

"Terletak tidak jauh dari Kuala Lumpur, Felda Sungai Klah ini mempunyai kira-kira 1,000 penduduk meliputi 38 keluarga India, 28 Cina dan selebihnya Melayu," katanya.



Saturday, 1 September 2012

Lagi Durian Runtuh Untuk Felda


SERDANG - Peneroka yang berhutang dengan bank untuk membeli 800 unit saham Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGVH) tidak perlu lagi membayar kepada bank mulai bulan depan apabila hutang mereka diambil alih Felda.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, peruntukan RM360 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membiayai pembelian unit saham itu kelmarin akan digunakan untuk membayar balik pinjaman yang dibuat oleh peneroka kepada 10 konsortium bank.

"Jadi, daripada bayar kepada bank yang ada faedah lima peratus setahun, peneroka akan bayar kepada Felda tanpa faedah dalam tempoh lima tahun iaitu kira-kira RM50 sebulan," katanya selepas menutup Kem Anak Muda Generasi Felda (Kemuda) dan Kursus Induksi Permuafakatan Siswa/Siswi Felda (Persada) 2012 di Universiti Putra Malaysia di sini semalam.

Najib kelmarin mengumumkan Felda memperuntukkan RM360.7 juta untuk membiayai sepenuhnya 800 unit saham yang diberi kepada setiap peneroka bagi meringankan beban mereka dalam pemilikan saham itu.

Ahmad berkata, peralihan itu akan dilakukan secara automatik dan pembayaran balik kepada Felda boleh dilakukan dengan potongan pendapatan di mana ia bakal memberi keuntungan lebih kepada peneroka apabila mereka tidak dikenakan faedah pinjaman.

Beliau berkata, dengan itu, pihak peneroka juga dapat melakukan urusniaga saham bila-bila masa tanpa sebarang syarat dan ia juga dapat mengelakkan 'jualan paksa' di mana jika mereka berhutang dan masih belum melunaskan bayaran penuh kepada bank selepas enam bulan, mereka perlu menjual saham itu sekali gus merugikan sekiranya harga saham pada masa itu rendah.

"Kita tidak beri (pinjaman ini) sebelum ini sebab kita tidak jangka berapa keuntungan yang kita dapat tetapi akhirnya kita dapat RM10 bilion, RM6 bilion untuk Felda dan RM4 bilion untuk FGV, jadi kita ada dana lebihan untuk bantu lagi peneroka," katanya.

Sementara itu, Ahmad turut menafikan tuduhan pihak pembangkang kononnya pemilikan peneroka terhadap saham FGV terlalu sedikit malah Felda dan peneroka adalah pemegang utama saham FGV iaitu sebanyak 39.5 peratus.

Beliau berkata, 17 peratus saham adalah milik Felda dan 22.5 peratus lagi milik peneroka iaitu 2.5 peratus daripada pemilikan 800 unit saham dan 20 peratus melalui tabung amanah.


Sumber : Bernama


Friday, 31 August 2012

Ambil Alih Pinjaman Peneroka


KUALA LUMPUR 29 Ogos - Felda akan mengambil alih pinjaman bank yang dibuat oleh peneroka bagi membeli 800 unit saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) mulai 1 September ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, langkah itu meringankan beban peneroka kerana mereka hanya perlu membayar semula kepada Felda sebanyak RM50 sebulan dalam tempoh lima tahun tanpa dikenakan sebarang faedah.

Menurut beliau, Felda memperuntukkan sebanyak RM360.7 juta untuk melunaskan pinjaman peneroka termasuk faedah kepada 10 bank.

"Peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada keuntungan kira-kira RM6 bilion yang diperolehi Felda hasil penyenaraian FGV di Bursa Malaysia.

"Memandangkan Felda ada lebihan dana, kita gunakan sebahagian daripadanya untuk membantu peneroka yang masih belum melunaskan pinjaman dengan bank," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Kem Anak Muda Generasi Muda Felda (Kemuda) dan Kursus Induksi Permuafakatan Siswa-Siswi Felda (Persada) 2012 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Faizoull Ahmad.

Bagaimanapun, jelas Ahmad, kira-kira 7,000 peneroka yang telah menjual saham FGV mereka serta melunaskan pinjaman bank tidak terlibat dalam langkah pengambilalihan itu.

Sementara itu, beliau menegaskan, pihak pembangkang membuat tuduhan tidak berasas apabila mendakwa sebahagian besar saham FGV dimiliki oleh syarikat asing.

"Peneroka memiliki sebanyak 22.5 peratus saham FGV dan sejumlah 17 peratus saham dimiliki oleh Felda. Pemilikan 39.5 peratus saham menjadikan peneroka dan Felda sebagai pemegang saham utama dalam FGV," ujarnya.

Menurut Ahmad, pemegang-pemegang utama saham FGV yang lain termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), kerajaan-kerajaan negeri dan kakitangan Felda.

Sumber : Utusan Online

Peneroka Felda Dapat Dividen

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian dividen interim sebanyak RM400 kepada 112,635 peneroka hasil daripada keuntungan penyenaraian saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), dua bulan lalu.

Perdana Menteri berkata, pemberian dividen interim berasaskan kepada nilai keuntungan 5.5 sen sesaham adalah hasil daripada dua bentuk dividen yang diterima oleh pihak peneroka iaitu melalui 800 unit saham dikhususkan kepada mereka serta Dana Amanah Peneroka.

''Pertama, mereka akan terima dividen melalui 800 unit saham yang telah diperuntukkan kepada mereka dan jika kita hitungkan 800 unit saham tersebut ia akan memberi pendapatan sebanyak RM44 iaitu selepas didarabkan dengan 5.5 sen.

''Kedua melalui Dana Amanah Peneroka. Sebanyak 20 peratus yang diperuntukkan di dalam dana ini dikhaskan untuk peneroka. Jumlahnya adalah sebanyak 370 juta saham dan apabila ia didarab dengan 5.5 sen bererti pendapatannya adalah sebanyak RM40.1 juta,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri warga Felda bersama Perdana Menteri di Menara Felda di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Presiden FGV, Datuk Sabri Ahmad.

Pengumuman ini sekali gus menangkis tohmahan pembangkang yang menyatakan peneroka Felda akan kerugian berikutan penyenaraian tersebut di papan utama Bursa Malaysia pada 28 Jun lepas.

Pembayaran dividen ini adalah tambahan kepada peneroka yang menerima durian runtuh RM15,000 kepada setiap peneroka Felda seluruh negara.

Harga saham FGV hari ini ditutup pada RM5.02 sesaham iaitu lebih tinggi daripada harga tawarannya RM4.55.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, daripada RM40.1 juta itu setelah dibahagikan kepada setiap peneroka, setiap mereka bakal menerima RM356.

''Sekiranya dicampur dengan pendapatan RM44, bererti melalui dividen interim tersebut setiap peneroka akan menerima RM400. Ini merupakan pendapatan dalam tempoh dua bulan sahaja sejak saham ini disenaraikan di Bursa Malaysia,'' katanya lagi.

Menjawab satu soalan, Perdana Menteri berkata, FGV dijangka membayar dividen kepada semua pemegang sahamnya buat kali kedua pada akhir tahun ini.

''Ini merupakan dividen interim. Insya Allah akan ada satu lagi pengisytiharan dividen pada hujung tahun ini. Ini bermakna terdapat dua kali pemberian dividen,'' katanya lagi.

Dalam pada itu, Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan yakin pihak FGV mampu mencapai keuntungan seperti mana disasarkan iaitu bersandarkan kepada prestasi memberangsangkan oleh pihak syarikat.

''FGV kini berada atas landasan dalam usahanya mencatatkan keuntungan seperti mana yang telah kita sasarkan,'' jelasnya.

Perdana Menteri dalam sidang akhbar sama turut mengumumkan keputusan Felda memberi pinjaman tanpa faedah kepada semua peneroka bagi membantu mereka memiliki 800 unit saham FGV.

''Langkah ini melibatkan peruntukan sebanyak RM360.7 juta. Dengan ini para peneroka tidak perlu meminjam atau mengeluarkan duit sendiri untuk memiliki saham ini. Mereka cuma dikehendaki membayar sebanyak RM50 sebulan sahaja sehingga selesai dijangka dalam tempoh lima tahun.

Sumber : Utusan Online

Thursday, 9 August 2012

Durian Runtuh Selepas Raya

Kuala Lumpur : Bayaran durian runtuh RM5,000 kepada generasi kedua FELDA dijangka selepas Aidilfitri, kata Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri yang menjaga FELDA, akan menentukan tarikh pengagihan bayaran itu.

Bukan masalah tiada duit

"Kita bayar, tidak ada masalah sebab duitnya ada. Tidak sempat Ramadan ini, mungkin juga selepas raya," katanya pada sidang media sebelum majlis meraikan anak yatim dan penerima sumbangan Ramadan daripada Syarikat Kumpulan FELDA di Anjung FELDA di sini, semalam.

Mengenai durian runtuh RM5,000 kepada isteri peneroka pula, Mohd Isa berkata, kira-kira 40 hingga 50 peratus bayaran itu sudah diagihkan sejak minggu pertama Ramadan.

Katanya, seluruh pembayaran fasa kedua kepada mereka yang berkelayakan itu diharap selesai sebelum Aidilfitri.

Sementara itu diminta mengulas kejatuhan harga saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) baru-baru ini, beliau berkata, ia sudah meningkat kepada RM5.07 semalam. 
"Sebenarnya minggu lalu, memang kebanyakan saham menurun dan semua syarikat perladangan pun mengalami perkara sama. Namun kerana syarikat perladangan ini dimiliki oleh swasta dan individu, maka tidak ada orang beri perhatian...`political mileage' (keuntungan politik) tidak ada,” katanya.

Pada majlis itu, Mohd Isa menyampaikan sumbangan Ramadan bernilai lebih RM150,000 berupa wang tunai dan barangan kepada 800 penerima.

Mereka terdiri daripada anak yatim dari lapan pertubuhan/rumah anak yatim di Negeri Sembilan dan Melaka, fakir miskin, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit di pusat hemodialisis kendalian FELDA.

Sumber : Utusan Online

Saturday, 28 July 2012

Salam Ramadhan


Salam Ramadhan 1433 H Dari FeldaFM. Selamat Menunaikan Ibadah Puasa :)

Monday, 7 May 2012

Durian runtuh FELDA hari ini

Oleh Hassan Omar, Ahmad Farizal Hajat dan Shaarani Ismail
bhnews@bharian.com.my
2012/05/08

Perdana Menteri buat pengumuman ganjaran tanda penghargaan kepada peneroka setia memajukan ladang

JERANTUT: Hari ini peneroka FELDA akan menerima berita gembira mengenai jumlah ‘durian runtuh’ yang dijanjikan kerajaan sebagai tanda penghargaan kepada mereka mengusahakan ladang sawit dan getah sejak 40 tahun lalu.

Difahamkan, jumlah yang bakal diterima 112,635 peneroka berlipat kali ganda lebih tinggi daripada wang Bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) dan menyamai kadar menunaikan umrah di Makkah sebanyak dua kali.

Ia akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan lebih 30,000 warga FELDA dari seluruh negara sempena perhimpunan raksasa warga FELDA, di FELDA Jengka 8, di sini pagi ini.

Pemberian durian runtuh secara tunai itu bagi memenuhi janji kerajaan ketika pengumuman Bajet 2012 dan sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia, bulan depan.

“Ia sudah semestinya akan lebih daripada wang BR1M sebanyak RM500,” kata sumber dalaman FELDA sambil memberi jaminan bahawa walaupun mendapat durian runtuh, semua insentif yang dinikmati selama ini seperti duit raya, bonus, pinjaman membesarkan rumah dan perumahan generasi kedua akan diteruskan.

Sumber itu berkata, ia bukan setakat memberi manfaat kepada peneroka, malah isteri, anak dan cucu, termasuk generasi kedua, ketiga dan keempat peneroka FELDA serta pekerja dalam sektor perladangan kelapa sawit yang dianggarkan berjumlah dua juta orang. 
“Ia akan dibayar lebih daripada dua kali kerana jumlahnya yang besar. Terpulanglah kepada peneroka bagaimana mereka mahu menggunakannya untuk keluarga dan masa depan,” katanya.

Sumber itu juga menjelaskan wang durian runtuh itu diperoleh menerusi pelbagai sumber dana dalaman FELDA yang akan diperoleh semula apabila proses penyenaraian FGVH selesai.

“Masyarakat luar FELDA mungkin bertanya mengapa peneroka FELDA menerima pelbagai sumbangan. Hakikatnya, dana itu bukan daripada kerajaan, sebaliknya dana dalaman FELDA sendiri,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif FGVH, Datuk Sabri Ahmad, berkata ia adalah pengiktirafan kerajaan atas ketabahan warga FELDA menempuh pelbagai dugaan dan ranjau terutama kekurangan kemudahan asas di tanah rancangan itu suatu masa dulu.

“Ia bagi mengiktiraf penat lelah peneroka memajukan tanah yang pada masa itu tidak memiliki bekalan elektrik dan sistem jalan raya yang baik. Nilai pemberian itu dijamin menyamai maksud ‘durian runtuh’ kerana ia dibuat sebagai satu lonjakan berganda kepada bonus peneroka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua warga FELDA akan meraih pelbagai manfaat dan faedah ketara hasil pemberian wang berkenaan.

“Saya pasti wang yang akan diterima nanti dapat merangsang lagi aktiviti ekonomi warga FELDA di pedalaman,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pemerhati pasaran, berkata semua 112,635 warga FELDA bakal meraih sekurang-kurangnya empat manfaat daripada penyenaraian FGVH.

Sebagai permulaan, mereka ditawarkan borang biru dalam tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraian yang melayakkan mereka melanggan sejumlah saham dalam FGVH. Mereka juga mendapat dividen tambahan menerusi sebuah tabung amanah berdaftar yang memegang 20 peratus kepentingan peneroka dalam FGVH, dianggarkan bernilai RM3.7 bilion.

Selain itu, walaupun Koperasi Permodalan FELDA Bhd (KPF) tidak menjadi sebahagian daripada pelan penyenaraian FGVH, peneroka masih mendapat dividen daripada KPF menerusi pelaburannya dalam Felda Holdings Bhd (FHB).

Manfaat keempat pula adalah penyenaraian FGVH tidak membabitkan pindah milik tanah peneroka dan mereka akan terus menikmati hasil daripada ladang yang mereka uruskan. Penyenaraian hanya membabitkan sejumlah 355,846 hektar tanah milik FELDA yang akan dipajak oleh FGVH.

Ia tidak menyentuh walau seinci pun tanah milik peneroka dan lebih 1.6 juta ahli keluarga mereka yang berjumlah 500,000 hektar. FGVH yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan menerusi FELDA dianggarkan memilik modal pasaran berjumlah RM18 bilion apabila disenaraikan.

Thursday, 19 April 2012

Belia Felda perlu tingkat ilmu, kemahiran


LABIS 17 April - Golongan belia, terutamanya di tanah rancangan Felda diingatkan supaya meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta tidak terjebak dalam kegiatan tidak bermoral.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, mereka sebagai aset dan benteng negara pada masa depan seharusnya merebut setiap peluang untuk menambah ilmu dan kemahiran yang ditawarkan di kolej komuniti, Pusat Giat Mara dan pusat latihan belia di kawasan masing- masing.

"Setiap tahun kerajaan memperuntukkan sehingga 25 peratus daripada belanjawan negara dalam bidang pendidikan dan rakyat harus memanfaatkan segala yang disediakan sebaik mungkin.

"Bidang kemahiran diberikan tumpuan khusus oleh kerajaan dan pelbagai kemudahan yang disediakan seperti Pusat Giat Mara, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Kolej Komuniti diwujudkan untuk memberi peluang kepada rakyat termasuk belia menimba ilmu dan kemahiran," katanya.

Sumber : Utusan Online

Thursday, 12 April 2012

Program Latihan Kemahiran usahasama FELDA & NMIT

NETHERLANS MARITIME INSTITUTE OF TECHNOLOGY


JENIS KURSUS

1. Diploma Pengurusan Pelabuhan Perkapalan( Diploma In Maritime Transportation Management )
2. Diploma Penggangkutan Perkapalan ( Diploma in Shipping Management )
3. Diploma Pelabuhan ( Diploma In Port Management )


TEMPOH PENGAJIAN

2 Tahun 6 Bulan


PENCAPAIAN AKADEMIK

  • Warganegara Malaysia
  • Pemohon seorang anak peneroka / anak kakitangan Felda / cucu peneroka (cucu yang tinggal bersama peneroka dan mendapat pengesahan daripada Pengurus Rancangan)
  • Belum berkahwin
  • Lelaki / Perempuan
  • Umur di antara 18 – 23 tahun


SYARAT KELAYAKAN

Lulus Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) atau setaraf dengannya mendapat 3 kredit dalam mana-mana mata pelajaran serta lulus bahasa Malaysia dan lulus Bahasa Inggeris.


TEMPAT KURSUS

CAMPUS CITY
Level 11-14, Kotaraya Office Tower
Plaza Kotaraya, Jalan Trus ,
80000 Johor Bharu
Johor Darul Takzim.
No Tel : 07-2772020
Fax : 07-227 1818

Muat turun lampiran untuk keterangan lanjut [MUAT TURUN]

Sumber : Laman Web FELDA

Sunday, 1 April 2012

Durian runtuh diumum Mei

BERA 31 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan mengumumkan nilai durian runtuh yang dijanjikan kepada peneroka berikutan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) pada satu majlis himpunan raksasa warga Felda di negeri ini pada Mei depan.

Menurut Perdana Menteri, nilai pemberian itu dijamin menyamai maksud durian runtuh itu sendiri yang merupakan satu lonjakan berganda kepada peneroka sekali gus membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan berjanji kosong.

‘‘Kalau saya istilahkan ia durian runtuh, tak kan ia sama dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M), RM500. Tentu jangkaannya lebih. Banyak mana, tunggu, kita akan buat satu perhimpunan raksasa di negeri Pahang ini sebab inilah negeri yang terbanyak rancangan Felda dan di negeri Pahanglah lahirnya Felda.

‘‘Insya-Allah pada Mei akan datang. Biar suspen sikit, bila kita tunggu sesuatu yang kita nak sangat, maka bila dapat tu, rahmatnya, rasa syukur itu dirasai lebih lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Perdana Menteri yang dihadiri lebih 10,000 orang di Felda Triang Tiga di sini hari ini.

Najib berkata, warga peneroka sememangnya berhak menerima durian runtuh itu serta pemberian lain kerana ia adalah pengiktirafan kerajaan di atas ketabahan mereka dalam menempuh pelbagai dugaan terutama kekurangan kemudahan asas di tanah rancangan suatu masa dahulu.

Katanya, warga peneroka juga pada masa sama perlu menganggap tindakan lapan daripada mereka yang memfailkan injunksi di mahkamah bagi menghalang penyenaraian FGVH ini sebagai satu lagi dugaan kerana setiap sesuatu yang baik pasti perlu melalui ujian Allah terlebih dahulu.

‘‘Sebab itu satu demi satu mereka halang. Tapi apa pun mereka buat, insya-Allah kita tahu uruskan dan penyenaraian ini akan tetap diteruskan. Kalau ikutkan saya boleh jelaskan lagi perkara ini tapi biarkanlah pada perhimpunan itu nanti saya terangkan apa perancangan, apa kebaikannya, insya-Allah.

‘‘Cuma apa-pun yang kita akan buat, soal tanah milik peneroka, kita tak usik dan tak sentuh sama sekali. Tak ada siapa boleh kata kita ambil tanah peneroka. Kita senaraikan ladang-ladang yang tak ada peneroka dan segala bantuan yang diterima peneroka akan diteruskan,” jelasnya.

Dalam ucapan itu, Perdana Menteri turut secara sinis mahu melihat sama ada lapan peneroka yang memfailkan injunksi menghalang penyenaraian FGVH ini kelak akan mengambil durian runtuh yang bakal diumumkan Mei ini.

Sumber : Utusan Online

Generasi baru Felda harus berubah sikap

KULAIJAYA 30 Mac - Generasi baru Felda digesa berubah sikap ke arah menjadi aset yang berupaya mempelbagaikan pendapatan mereka.

Pegawai Penerangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tosrin Jarvanti berkata, generasi kedua, ketiga dan seterusnya harus berusaha meneruskan kejayaan bapa dan ibu mereka bagi melestarikan Felda ke peringkat lebih tinggi.

"Hakikatnya tiada lagi tanah rancangan baru dibuka. Justeru, tanggungjawab bagi kelestarian Felda terletak di bahu generasi seterusnya. Generasi muda kena bangun untuk menyambung kejayaan yang telah diraih oleh ibu bapa mereka dalam bentuk ekonomi baru," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Karnival Keluarga 1Malaysia anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja di Dewan Serbaguna Felda Bukit Ramun, di sini malam kelmarin.

Lebih 300 warga Felda Bukit Ramun menyertai karnival berkenaan. Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Baderi Dasuki; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Abd. Halim Abd. Jalil; Ketua Kampung Felda Bukit Ramun, Mohd. Saahad Abdul Hamid dan Pegawai Jasa DUN Pasir Raja, Mohd. Razis Jamiti.

Tosrin berkata, banyak peluang pekerjaan dan perniagaan boleh diceburi warga Felda.

"Aktiviti ini bakal mempelbagaikan lagi sumber pendapatan peneroka dan generasi seterusnya. Oleh itu generasi baru Felda perlu mengambil peluang dengan sebaik-baik mungkin," katanya.

Beliau turut menasihati generasi baru Felda supaya tidak terpengaruh dengan segelintir pihak tertentu yang mempunyai agenda politik sempit atau kepentingan peribadi sehingga sanggup menidakkan rezeki dan peluang orang lain untuk menikmati kejayaan yang diusahakan selama ini.

Sementara itu, Pengerusi karnival, Mohd. Safiee Salam berkata, karnival itu bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan warga Felda, malah meningkatkan persefahaman antara mereka.

Sumber : Utusan Online

Thursday, 29 March 2012

'Durian runtuh' peneroka Felda

ALOR GAJAH 26 Mac - Warga peneroka Felda bakal mendapat 'durian runtuh' daripada kerajaan tidak lama lagi yang akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, Felda daripada segi kewangan telah bersedia untuk memberi 'durian runtuh' itu tetapi hanya Perdana Menteri yang berhak memutuskan bila dan berapa jumlahnya.

"Peneroka Felda di seluruh negara bakal menikmati 'durian runtuh' itu seperti yang diterima mereka sebelum ini.

''Tetapi butiran lanjut mengenainya biarlah Perdana Menteri sendiri yang umumkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Program Pemimpin Bersama Warga Felda Melaka di Felda Tun Ghafar Hutan Percha, di sini malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Isa berkata, tindakan pembangkang memutarbelitkan isu penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia adalah semata-mata untuk meraih undi golongan peneroka yang selama ini menjadi penyokong kuat Barisan Nasional (BN).

Katanya, pelbagai tohmahan dilemparkan pembangkang terhadap usaha penyenaraian itu agar dianggap sebagai 'wira' yang menjaga kebajikan dan kepentingan peneroka.

Namun, katanya, tindakan itu menjerat pembangkang sendiri apabila majoriti warga peneroka menyambut baik penyenaraian FGVH kerana ia bakal memberi manfaat kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.

"Inilah kerja pembangkang, mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk mengelirukan rakyat bagi mencapai matlamat politik dan akan menggunakan apa sahaja cara untuk mendapatkan sokongan daripada warga peneroka Felda," katanya.

Sumber : Utusan Online

Tuesday, 27 March 2012

Warga Felda tambah kekuatan Askar Wataniah

PELANCARAN Kompeni Askar Wataniah Wilayah Felda di Felda Gedangsa, Hulu Selangor baru-baru ini membuktikan anak kelahiran tanah rancangan turut bersemangat mempertahankan tanah air daripada diceroboh anasir subversif luar.

Penyertaan peneroka Felda dalam pasukan tersebut menambah lagi kekuatannya yang sehingga Disember tahun lalu telah mempunyai sebanyak 222 kompeni merangkumi setiap kawasan parlimen di seluruh negara.

Majlis bersejarah melibatkan kontinjen kawasan Felda Gedangsa, Sungai Tinggi Selatan dan Kampung Soeharto itu dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pada majlis berkenaan, beliau turut memeriksa perbarisan 12 pegawai dan 120 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Mohd. Subhi Marsan.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd Zin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zukifli Zainal Abidin; Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki dan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda, (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail.

Ahmad Zahid berkata, beliau berasa bangga dengan inisiatif GWGF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan Kompeni Askar Wataniah Wilayah Felda di semua 317 buah tanah rancangan Felda seluruh negara.

Menurutnya, dalam usaha mencapai matlamat sebuah negara yang maju sejajar dengan wawasan 2020, setiap pihak dan rakyat perlu memainkan peranan penting membangun dan mempertahankan negara.

Penyertaan masyarakat di dalam Askar Wataniah merupakan satu sumbangan murni bagi menyahut seruan ibu pertiwi sesuai dengan konsep pertahanan menyeluruh (Hanruh) yang ditetapkan dalam dasar pertahanan negara.

"Saya amat berbangga kerana impian untuk merealisasikan Penubuhan Kompeni Askar Wataniah Wilayah Felda akhirnya berjaya dan ia merupakan sebahagian daripada komitmen agensi kerajaan, badan berkanun dan swasta di peringkat Felda apabila keanggotaannya dipelopori anak-anak peneroka Felda.

"Kejayaan ini sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat Felda tentang kepentingan keselamatan negara di samping mengeratkan silaturahim di antara Warga Felda, ATM dan Askar Wataniah yang dianggap sebagai satu wasilah yang memperjuangkan nasib generasi baru Felda," katanya sempena pelancaran itu.

Beliau berkata, usaha yang dilakukan itu sangat baik dan wajar diberikan pujian kerana ia sejajar dengan usaha kerajaan untuk menambahkan bilangan anggota askar wataniah di negara ini.

Katanya, beliau yakin usaha itu secara tidak langsung dapat membantu kerajaan dari segi aspek penambahan keanggotaan Askar Wataniah di samping dapat memberikan maklumat kepada orang awam mengenai tugas sebenar pasukan keselamatan sukarela berkenaan.

"Askar Wataniah dilatih membantu angkatan tetap dan ia merupakan modul yang dipraktikkan selama ini dan akan terus dijadikan strategi utama apabila keadaan memerlukan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, selagi semangat kesukarelaan itu kekal, asas penubuhan Askar Wataniah akan terus menjadi lebih signifikan dan model terbaik di dalam penubuhan angkatan keselamatan sukarela.

Katanya, setiap orang bertanggungjawab menjaga dan menentukan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan negara tercinta supaya ia terus terpelihara.

Tambahnya, selain menjaga keselamatan, pasukan wataniah juga dapat membantu orang ramai melaksanakan kerja amal yang lain seperti membina rumah rakyat miskin, membantu mangsa banjir dan bencana alam.

Sementara itu, Rozali berkata, GWGF dengan kerjasama Rejimen 502 Askar Wataniah Negeri Selangor dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menubuhkan kompeni askar wataniah peringkat tanah rancangan Felda yang dinamakan Kompeni Askar Wataniah Felda.

Menurutnya, penubuhan kompeni askar wataniah Felda akan diperluaskan ke seluruh 317 tanah rancangan lembaga itu di seluruh negara dan baru-baru ini beberapa kontinjen Felda di negeri Selangor disatukan menjadi kompeni askar wataniah Felda yang pertama ditubuh dan dilancarkan dengan rasminya.

Menurutnya, selepas ini kompeni-kompeni askar wataniah di setiap tanah rancangan Felda akan bergerak secara berkumpulan mengikut wilayah Felda masing-masing di seluruh negara.

Sementara itu, seorang anggota Askar Wataniah Wilayah Felda Selangor, Aminurdin Mat Shohor, 27, berkata, beliau gembira apabila diterima menjadi askar wataniah kerana dapat berkhidmat untuk Negara.

Beliau yang juga seorang eksekutif berkata, semangat untuk mencabar diri sendiri mendorongnya menyertai askar wataniah.

"Saya berharap memperoleh ramai kenalan dan meningkatkan semangat patriotisme setelah menyertai pasukan keselamatan sukarela ini," katanya.

Teman sepasukannya, Mohd. Ismail Masri, berkata beliau turut gembira dapat berkhidmat dalam askar wataniah di kawasan Felda kerana mahu membuktikan generasi baru cintakan keamanan negara.

Katanya, selain berkhidmat kepada negara, beliau berikrar melaksanakan tugas dengan baik.

Seorang lagi anggota berkenaan, Masri Abd Rahim, 29, berkata, penubuhan askar wataniah di Felda dapat direalisasikan apabila mendapat sambutan generasi muda.

Beliau yang juga seorang Eksekutif Kanan Sumber Manusia, berkata semangat menjaga keamanan negara mesti disemarakkan dalam kalangan anak muda yang tahu menilai erti cinta kepada negara dan mempunyai jati diri.

"Tugas menjaga keamanan bukan semata-mata terletak kepada anggota tetap malah pasukan keselamatan sukarela," katanya.

Sumber : Utusan Online

Wednesday, 21 March 2012

Impian warga Felda tercapai

MARAN 12 Mac - Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di sini yang menjadi kebanggaan orang Melayu Pahang khususnya warga Felda terus melonjak maju setanding dengan bandar lain berikutan beberapa projek bernilai RM250 juta sedang rancak dibangunkan di lokasi tersebut.

Salah satu projek yang dinantikan warga peneroka ialah Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu Wilayah Ekonomi Pantai Timur bernilai RM10 juta yang sedang dalam pembinaan sekali gus bakal menjadi mercu tanda baru bandar Melayu terulung di negeri ini.

Projek yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lalu itu kini sudah kira-kira 35 peratus pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada 17 November ini.

Jurutera pemaju projek berkenaan, Ahmad Rizuan Zulkifli berkata, kompleks terminal dua tingkat itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden untuk bas, teksi, kedai, koperasi, kedai makan, surau, bilik menunggu berhawa dingin, gelanggang boling dan banyak lagi.

Katanya, kompleks itu bakal menjadi mercu tanda baru di Bandar Tun Abdul Razak sekali gus menjadi nadi penghubung dengan destinasi luar.

''Pihak pemaju sangat komited untuk memastikan projek tersebut berjalan lancar selari dengan prestasi tahap kemajuan negeri,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ahmad Rizuan berkata, pemaju terpaksa merobohkan bangunan asal perhentian bas dan teksi yang dibina oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka untuk laluan pembinaan kompleks tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, penjenamaan semula Bandar Jengka dengan nama baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka disusuli dengan peruntukan khas sebanyak RM250 juta bagi membangunkan kawasan tersebut.

Tambahnya, antara projek yang akan dibangunkan adalah kompleks sukan, stadium mini, pusat membeli-belah, pusat perniagaan, tempat letak kereta dan pelbagai kemudahan lain.

"Ia menyuntik semangat warga Felda untuk turut serta menyumbang tenaga dan minda bagi menjamin bandar milik peneroka ini terus 'hidup' dalam jiwa dan hati mereka.

''Bentuk kompleks tersebut apabila siap kelak sangat menarik dan canggih serta bakal menjadi tumpuan orang ramai kerana di situ turut disediakan gelanggang boling," katanya.

Sumber : Utusan Online

Tuesday, 20 March 2012

Rumah untuk generasi kedua, ketiga Felda

LABIS 12 Mac - Kerajaan akan membina projek Perumahan Warga Felda (PWF) di Felda Maokil, dekat sini, bagi membantu generasi kedua dan ketiga Felda memiliki rumah sendiri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, tapak PWF itu sudah dikenal pasti dan hanya menunggu kelulusan kerajaan sebelum dilaksanakan.

"Kerajaan akan memberikan subsidi sebanyak RM20,000 untuk setiap rumah itu dan pemohon hanya perlu membayar antara RM45,000 hingga RM65,000 sahaja bagi memiliki rumah tersebut.

"Ini untuk membantu generasi peneroka Felda kedua dan ketiga memiliki rumah kerana Felda tidak dapat memberi tanah kepada mereka seperti generasi pertama," katanya kepada pemberita selepas majlis jalinan mesra bersama peneroka di Sekolah Menengah Felda Maokil 1, dekat sini baru-baru ini.

Katanya, pembinaan PWF di Maokil adalah pertama di bawah Gugusan Felda Segamat dan diharap dapat menyelesaikan masalah kesukaran memiliki rumah di kalangan generasi berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan kesemua 722 peneroka Felda Maokil supaya tidak terpedaya dengan janji Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman yang mahu mengagihkan 360,000 hektar tanah Felda kepada anak-anak peneroka jika pembangkang berkuasa.

Beliau berkata, tanah itu bukan milik anak-anak peneroka sebaliknya aset agensi tersebut yang diuruskan oleh Felda Plantation dan merupakan sumber utama agensi berkenan.

Jelasnya, tanah itu asalnya adalah untuk 200,000 orang dari seluruh negara yang memohon untuk menjadi peneroka di tanah rancangan Felda ketika dibuka pada awal 1960-an.

"Daripada 200,000 orang ini, hanya 165,000 daripada mereka g menjadi peneroka dan tanah yang tidak diusahakan peneroka inilah yang dimaksudkan oleh pembangkang.

"Tanah ini adalah milik Felda. Kita harus faham tanah ini bukan milik peneroka atau anak-anak peneroka dan sudah semestinya kita tidak boleh mengambil sesuatu yang bukan hak kita," katanya.

Sumber : Utusan Online

Thursday, 1 March 2012

Felda pertingkat kecekapan bahasa Inggeris anak peserta

LONDON 29 Feb. - Felda bersama ”City and Guilds” telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menyediakan latihan bahasa Inggeris di kalangan anak-anak peneroka lembaga itu yang telah menamatkan pendidikan menengah.

Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad berkata, langkah itu merupakan sebahagian dari program Yayasan Felda untuk memajukan lagi kolej-kolejnya ke tahap lebih tinggi.

Kerjasama itu akan menyaksikan badan anugerah vokasional yang berpangkalan di UK itu membantu FELDA memaju dan mentauliah program bahasa Inggeris berkualiti setara dengan standard antarabangsa, kata Isa di ibu pejabat City and Guilds di sini semalam.

Isa kemudian menyaksikan majlis menandatangani MoU itu antara CEO Yayasan Felda Dr. Emel Faizal Mohd. Mokhtar dengan Ketua Pembangunan Antarabangsa City and Guilds Mike Dawe.

Sumber : BERNAMA

Thursday, 23 February 2012

Karnival Iktiraf 2011/2012


Karnival Iktiraf 2011/2012 - 31 Mac hingga 1 April 2012 yang bertempat di Dataran Merdeka. Acara kompang terbesar akan diadakan untuk mencatat Malaysia Book of Record. Kepada pemain kompang di Malaysia anda dijemput hadir dan sila bawa kompang bersama untuk memeriahkan dan meramaikan acara. Kehadiran YAB Perdana Menteri bagi merasmikan karnival turut memeriahkan lagi majlis. Seluruh Warga Felda 1 Malaysia Dijemput hadir!!!....

Maklumat Lanjut Hubungi MBFM Kebangsaan 03 26926133

"Menjunjung Transformasi Bangsa"

Monday, 20 February 2012

Ribut jejas rumah peneroka.


NORHAFIZAN ZULKIFLI

20 Februari 2012




JENGKA 13 – Sebanyak enam rumah peneroka terjejas dalam kejadian ribut taufan yang melanda Felda Jengka 13 pada jam 6.40 petang kelmarin.


Kejadian itu membabitkan tiga rumah di blok A dan tiga rumah lagi di blok C.

Mangsa, Idris Lebai Ahmad, 61, berkata, ia merupakan kejadian ketiga dalam masa tiga tahun di mana taufan yang kelihatan seperti puting beliung kecil menerbangkan atap rumahnya.

“Ketika kejadian, saya sedang membancuh simen di belakang rumah. Namun secara tiba-tiba saya terdengar bunyi benda patah di bahagian hadapan.

“Waktu itu saya nampak taufan yang datang dari timur itu menghancurkan beranda dan ruang tamu sebelum menuju rumah jiran berhampiran,” katanya.

Dia berkata, sehubungan itu dia mengarahkan anak dan isterinya menyelamatkan diri ke belakang rumah untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Saya sekeluarga bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku. Bagaimanapun, kami terpaksa mengeluarkan kos membaiki kerosakan akibat kejadian itu segera.

“Kami tidak menerima sebarang bantuan dan terpaksa memperuntukkan antara RM500 hingga RM1,000 untuk membaiki semula rumah kami,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Khairil Ismail berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat di ruang tamu bersama anak dan isterinya.

“Ribut taufan ketika itu berserta hujan lebat. Tiba-tiba saya nampak atap rumah tercabut. Tanpa membuang masa, saya terus menyelamatkan keluarga dan mengalihkan semua peralatan supaya tidak terkena air.

“Namun perabot seperti katil dan almari tidak sempat diselamatkan dan rosak terkena hujan. Boleh dikatakan rumah saya adalah rumah paling teruk terjejas dalam ribut ini,” katanya.

Sumber : Sinar Harian Edisi PAHANG

Saturday, 18 February 2012

Masyarakat FELDA perlu lakukan transformasi


KUBANG PASU 5 Feb. - Masyarakat Felda terutama generasi baru perlu mempersiapkan diri untuk melakukan transformasi bagi memastikan tanah rancangan itu terus relevan dengan arus globalisasi yang sangat mendesak terhadap ilmu pengetahuan serta aktiviti ekonomi berimpak tinggi.

Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Faizoull Ahmad berkata, sehubungan itu hubungan akrab antara golongan peneroka dan generasi baru harus diperkasa bagi mencapai hasrat negara agar Felda berjaya menjadi kawasan penjana ekonomi di kawasan luar bandar.

Katanya, langkah itu juga boleh dilakukan dengan mengekalkan sistem pengurusan kebun secara berkelompok selain mewujudkan aktiviti ekonomi yang lain sama ada dalam sektor pertanian, ternakan mahupun perkhidmatan.
"Untuk menjayakan usaha ini, masyarakat Felda harus memberi tumpuan yang serius terhadap pendidikan kepada semua lapisan masyarakat.

"Ini kerana pelbagai bentuk ancaman dari dalam dan luar Felda semakin berleluasa dan harus kita banteras habis-habisan dan dengan bijaksana demi kelangsungan tanah rancangan ini," katanya pada majlis penutup Program Pemantapan Sahsiah dan Pendidikan Anak Felda Wilayah Alor Setar di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok di sini hari ini.

Hadir sama pada program tiga hari yang disertai kira-kira 600 peserta itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Datuk Dr. Ahmad Faiz Hamid.

Pada program yang bertujuan memantapkan sahsiah dan akademik anak-anak Felda itu, mereka turut berkongsi pengalaman anak Felda bersama Presiden Alumni Asrama Felda Malaysia, Abdul Malek Jalil dan Pengarah Pusat Bahasa/Pensyarah Kanan Kolej Sains dan Sastera UUM, Dr. Siti Jamilah Bidin.

Faizoull berkata, dalam mengimbangi pelbagai bentuk cabaran alaf baru yang lebih getir dan mencabar, generasi muda perlu bersiap sedia memikul tanggungjawab sebagai pewaris negara.
Katanya, persediaan itu adalah dengan memastikan penetapan jati diri berterusan, berdaya saing dan mampu mengekang apa juga bentuk penjajahan baru.

Menurut beliau, sumbangan peratusan komposisi sehingga 70 peratus generasi Felda berusia 15 hingga 40 tahun amat menuntut satu mekanisme yang khusus dan teratur dapat digerakkan bagi memperkasa belia terutama di peringkat sekolah, institusi kemahiran dan pengajian tinggi awam atau swasta.

"Bertepatan dengan itu, pihak Felda tanpa ragu-ragu memperuntukkan perbelanjaan yang agak besar setiap tahun bagi menggerakkan program yang menjurus kepada pendidikan dan pembangunan modal insan,'' katanya.
''Program yang menyentuh aspek pengukuhan nilai-nilai diri juga sama penting untuk dilaksanakan di peringkat awal," katanya.

Sumber : Utusan Online

Friday, 17 February 2012

Selamat Datang

Kami di FELDA FM mengucapkan selamat datang kepada anda..Terima kasih mengunjungi laman kami..Dan terima kasih atas sokongan anda..