FELDA FM. Powered by Blogger.

Radio Internet FELDA FM

Thursday, 19 April 2012

Belia Felda perlu tingkat ilmu, kemahiran


LABIS 17 April - Golongan belia, terutamanya di tanah rancangan Felda diingatkan supaya meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta tidak terjebak dalam kegiatan tidak bermoral.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, mereka sebagai aset dan benteng negara pada masa depan seharusnya merebut setiap peluang untuk menambah ilmu dan kemahiran yang ditawarkan di kolej komuniti, Pusat Giat Mara dan pusat latihan belia di kawasan masing- masing.

"Setiap tahun kerajaan memperuntukkan sehingga 25 peratus daripada belanjawan negara dalam bidang pendidikan dan rakyat harus memanfaatkan segala yang disediakan sebaik mungkin.

"Bidang kemahiran diberikan tumpuan khusus oleh kerajaan dan pelbagai kemudahan yang disediakan seperti Pusat Giat Mara, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Kolej Komuniti diwujudkan untuk memberi peluang kepada rakyat termasuk belia menimba ilmu dan kemahiran," katanya.

Sumber : Utusan Online

Thursday, 12 April 2012

Program Latihan Kemahiran usahasama FELDA & NMIT

NETHERLANS MARITIME INSTITUTE OF TECHNOLOGY


JENIS KURSUS

1. Diploma Pengurusan Pelabuhan Perkapalan( Diploma In Maritime Transportation Management )
2. Diploma Penggangkutan Perkapalan ( Diploma in Shipping Management )
3. Diploma Pelabuhan ( Diploma In Port Management )


TEMPOH PENGAJIAN

2 Tahun 6 Bulan


PENCAPAIAN AKADEMIK

  • Warganegara Malaysia
  • Pemohon seorang anak peneroka / anak kakitangan Felda / cucu peneroka (cucu yang tinggal bersama peneroka dan mendapat pengesahan daripada Pengurus Rancangan)
  • Belum berkahwin
  • Lelaki / Perempuan
  • Umur di antara 18 – 23 tahun


SYARAT KELAYAKAN

Lulus Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) atau setaraf dengannya mendapat 3 kredit dalam mana-mana mata pelajaran serta lulus bahasa Malaysia dan lulus Bahasa Inggeris.


TEMPAT KURSUS

CAMPUS CITY
Level 11-14, Kotaraya Office Tower
Plaza Kotaraya, Jalan Trus ,
80000 Johor Bharu
Johor Darul Takzim.
No Tel : 07-2772020
Fax : 07-227 1818

Muat turun lampiran untuk keterangan lanjut [MUAT TURUN]

Sumber : Laman Web FELDA

Sunday, 1 April 2012

Durian runtuh diumum Mei

BERA 31 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan mengumumkan nilai durian runtuh yang dijanjikan kepada peneroka berikutan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) pada satu majlis himpunan raksasa warga Felda di negeri ini pada Mei depan.

Menurut Perdana Menteri, nilai pemberian itu dijamin menyamai maksud durian runtuh itu sendiri yang merupakan satu lonjakan berganda kepada peneroka sekali gus membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan berjanji kosong.

‘‘Kalau saya istilahkan ia durian runtuh, tak kan ia sama dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M), RM500. Tentu jangkaannya lebih. Banyak mana, tunggu, kita akan buat satu perhimpunan raksasa di negeri Pahang ini sebab inilah negeri yang terbanyak rancangan Felda dan di negeri Pahanglah lahirnya Felda.

‘‘Insya-Allah pada Mei akan datang. Biar suspen sikit, bila kita tunggu sesuatu yang kita nak sangat, maka bila dapat tu, rahmatnya, rasa syukur itu dirasai lebih lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Perdana Menteri yang dihadiri lebih 10,000 orang di Felda Triang Tiga di sini hari ini.

Najib berkata, warga peneroka sememangnya berhak menerima durian runtuh itu serta pemberian lain kerana ia adalah pengiktirafan kerajaan di atas ketabahan mereka dalam menempuh pelbagai dugaan terutama kekurangan kemudahan asas di tanah rancangan suatu masa dahulu.

Katanya, warga peneroka juga pada masa sama perlu menganggap tindakan lapan daripada mereka yang memfailkan injunksi di mahkamah bagi menghalang penyenaraian FGVH ini sebagai satu lagi dugaan kerana setiap sesuatu yang baik pasti perlu melalui ujian Allah terlebih dahulu.

‘‘Sebab itu satu demi satu mereka halang. Tapi apa pun mereka buat, insya-Allah kita tahu uruskan dan penyenaraian ini akan tetap diteruskan. Kalau ikutkan saya boleh jelaskan lagi perkara ini tapi biarkanlah pada perhimpunan itu nanti saya terangkan apa perancangan, apa kebaikannya, insya-Allah.

‘‘Cuma apa-pun yang kita akan buat, soal tanah milik peneroka, kita tak usik dan tak sentuh sama sekali. Tak ada siapa boleh kata kita ambil tanah peneroka. Kita senaraikan ladang-ladang yang tak ada peneroka dan segala bantuan yang diterima peneroka akan diteruskan,” jelasnya.

Dalam ucapan itu, Perdana Menteri turut secara sinis mahu melihat sama ada lapan peneroka yang memfailkan injunksi menghalang penyenaraian FGVH ini kelak akan mengambil durian runtuh yang bakal diumumkan Mei ini.

Sumber : Utusan Online

Generasi baru Felda harus berubah sikap

KULAIJAYA 30 Mac - Generasi baru Felda digesa berubah sikap ke arah menjadi aset yang berupaya mempelbagaikan pendapatan mereka.

Pegawai Penerangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tosrin Jarvanti berkata, generasi kedua, ketiga dan seterusnya harus berusaha meneruskan kejayaan bapa dan ibu mereka bagi melestarikan Felda ke peringkat lebih tinggi.

"Hakikatnya tiada lagi tanah rancangan baru dibuka. Justeru, tanggungjawab bagi kelestarian Felda terletak di bahu generasi seterusnya. Generasi muda kena bangun untuk menyambung kejayaan yang telah diraih oleh ibu bapa mereka dalam bentuk ekonomi baru," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Karnival Keluarga 1Malaysia anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja di Dewan Serbaguna Felda Bukit Ramun, di sini malam kelmarin.

Lebih 300 warga Felda Bukit Ramun menyertai karnival berkenaan. Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Baderi Dasuki; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Abd. Halim Abd. Jalil; Ketua Kampung Felda Bukit Ramun, Mohd. Saahad Abdul Hamid dan Pegawai Jasa DUN Pasir Raja, Mohd. Razis Jamiti.

Tosrin berkata, banyak peluang pekerjaan dan perniagaan boleh diceburi warga Felda.

"Aktiviti ini bakal mempelbagaikan lagi sumber pendapatan peneroka dan generasi seterusnya. Oleh itu generasi baru Felda perlu mengambil peluang dengan sebaik-baik mungkin," katanya.

Beliau turut menasihati generasi baru Felda supaya tidak terpengaruh dengan segelintir pihak tertentu yang mempunyai agenda politik sempit atau kepentingan peribadi sehingga sanggup menidakkan rezeki dan peluang orang lain untuk menikmati kejayaan yang diusahakan selama ini.

Sementara itu, Pengerusi karnival, Mohd. Safiee Salam berkata, karnival itu bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan warga Felda, malah meningkatkan persefahaman antara mereka.

Sumber : Utusan Online